Ahmad Hasbi

Seremban: Meskipun sudah dimamah usia, Jamaluddin Malek, 69, tidak pernah lelah mengekspresikan semangat patriotismenya terhadap negara setiap kali menjelang sambutan bulan kemerdekaan.

Sejak 15 tahun lalu, Jamaluddin dengan semangat kecintaannya kepada negara akan menghias motosikalnya dengan Jalur Gemilang dan menempah baju melayu khas berkonsepkan bendera Malaysia itu.

Dengan rasa bangga, Jamaluddin akan memakai baju tersebut dan pernah menjelajah ke Melaka dan Johor dengan menaiki motosikal hanya semata-mata untuk menyambut kemerdekaan.

Namun tahun ini, Jamaluddin berkata, hasratnya untuk melakukan jelajah pada tahun tidak kesampaian ekoran keadaan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

"Untuk tahun ini saya mungkin akan menyambutnya di Seremban sahaja. Saya akan menunggang motosikal ini mengelilingi daerah Seremban pada 31 Ogos ini.

"Bagi memeriahkan suasana, saya menyediakan gula-gula untuk diberikan kepada kanak-kanak yang ditemuinya di sepanjang jalan. Daripada pengalaman sebelum ini, saya sering ditahan pengguna jalan raya untuk bergambar bersama," katanya ketika ditemui.

JAMALUDDIN lengkap berpakaian baju Melayu khas berkonsepkan bendera Malaysia bersama motosikal yang dihiasi Jalur Gemilang. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
JAMALUDDIN lengkap berpakaian baju Melayu khas berkonsepkan bendera Malaysia bersama motosikal yang dihiasi Jalur Gemilang. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Tambahnya, dia membelanjakan kira-kira RM200 untuk menempah Baju Melayu Jalur Gemilang dan membeli bendera untuk dihias di motosikalnya.

"Saya tidak pernah rasa malu untuk berpakaian sebegini sambil menunggang motosikal. Malah, saya rasa bangga dan anak juga menyokong minat saya dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara.

"Ini cara saya untuk menyambut kemerdekaan dan saya berharap ia akan memberikan inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

"Marilah kita sama-sama semarakkan Bulan Kemerdekaan ini dengan kibaran Jalur Gemilang. Kalau bukan kita siapa lagi," katanya penuh bangga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 1:05 PM