Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lentur buluh daripada rebung, begitu matlamat yang diterapkan warga pendidik Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Jalan Anson di sini, bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan murid.

Seramai 563 murid tahun satu hingga enam sekolah berkenaan mengambil bahagian pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2023 peringkat sekolah dengan berpakaian tradisional masing-masing serta mengibar Jalur Gemilang.

Guru Besar Ng Kar Hoong berkata, kelebihan sekolah berkenaan adalah terdiri daripada pelbagai kaum sekaligus selaras dengan seruan Malaysia Madani yang mahu semua hidup bersatu padu.

"Bukan saja kibar bendera dan nyanyikan beberapa lagu patriotik, tetapi kita mahu tanamkan 'semangat Malaysia' dalam kalangan murid sejak di bangku sekolah juga di tempat kelahiran mereka.

"Ia adalah acara tahunan dan kali ini agak meriah malah kami akan teruskan anjurkan bagi tahun akan datang," katanya ketika ditemui di sini.

Acara yang turut disertai seramai 43 guru itu turut dihadiri Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut Mohd Mursalin Ramli @Yusof.

Pada acara itu beberapa guru turut melakukan gimik mengayuh basikal yang dihiasi Jalur Gemilang.

Sementara itu, murid, Jovianne Gan Chun Ya, 11, berkata, erti Kemerdekaan ialah apabila Malaysia menjadi negara yang aman dan kini bebas daripada penjajah

"Saya berbangga menjadi rakyat Malaysia serta berkawan dengan berbilang bangsa, jadi diharap keadaan ini akan berterusan kepada generasi seterusnya," katanya.

Mohd Saifulrizam (belakang kiri) dan Gun (belakang dua dari kiri) bersama peserta cilik yang menyertai pertandingan Busana Jalur Gemilang Kanak-Kanak Kemerdekaan 2023. FOTO Ihsan PPSKLIA
Mohd Saifulrizam (belakang kiri) dan Gun (belakang dua dari kiri) bersama peserta cilik yang menyertai pertandingan Busana Jalur Gemilang Kanak-Kanak Kemerdekaan 2023. FOTO Ihsan PPSKLIA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 8:21 PM