KEADAAN banjir kilat di Kampung Sulup, Teluk Kumbar semalam. FOTO Mikail Ong
KEADAAN banjir kilat di Kampung Sulup, Teluk Kumbar semalam. FOTO Mikail Ong
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Buruh binaan meninggal dunia ketika mencuci kediamannya yang dilanda banjir kilat di Pulau Betong di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Zailan Zainuddin, 35, dipercayai tergelincir ketika melakukan kerja pembersihan bersama isterinya jam 10.30 malam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian yang menimpa keluarga berkenaan.

Menerusi maklumat daripada isteri mangsa, suaminya mempunyai rekod sakit jantung dan mayat dibawa ke Hospital Balik Pulau bagi tujuan bedah siasat.

"Pada masa ini, pihak keluarga masih menunggu keputusan ujian Covid-19 sebelum bedah siasatan dilakukan.

"Mangsa mempunyai tiga cahaya mata berusia antara tiga hingga 10 tahun," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, kira-kira 1,000 penduduk di kawasan perumahan sekitar Teluk Kumbar, Balik Pulau serta Teluk Bahang terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat berterusan selama lima jam.

Hujan lebat bermula jam 10 pagi turut menyebabkan ratusan rumah ditenggelami air lebih setengah meter.

Antara lokasi yang terjejas teruk adalah Kampung Masjid, Kampung Suluk di Teluk Kumbar; Titi Teras, Kampung Terang, Pulau Betong, Kampung Kongsi, Kampung Genting, Sungai Burung dan Jalan Bharu bagi Balik Pulau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 4:28 PM