Hadzlihady Hassan


SERAMAI 33 orang membabitkan sembilan keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Haji Hashim, Bukit Kecil, Sungai Pinang, Georgetown, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata, sembilan warga emas dan empat kanak-kanak antara yang ditempatkan di surau terbabit.

Menurutnya, PPS berkenaan dibuka jam 4.15 petang hari ini dan semua mangsa banjir terbabit masih ditempatkan di situ sehingga jam 7 malam.

“Semua mangsa juga dibekalkan makanan secukupnya dan setakat ini tiada pertambahan penduduk yang dipindahkan akibat banjir kilat di kawasan terbabit,” katanya.

Hujan berterusan sejak pagi menyebabkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat selain tanah runtuh di Jalan Paya Terubong menuju ke Balik Pulau, hari ini.

Difahamkan, hujan bermula sejak jam 8 pagi hingga jam 4 petang menyebabkan kawasan Teluk Kumbar, Balik Pulau, Teluk Bahang, Bayan Lepas dilanda banjir kilat.

Manakala, tanah di persimpangan Jalan Paya Terubong-Jalan Tun Sardon ke Balik Pulau/Relau dikesan runtuh jam 3 petang.

Setakat ini, laluan itu hanya dibuka satu lorong kepada pengguna jalan raya bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Selain itu, hujan lebat juga menyebabkan berlaku fenomena kepala air di kawasan rekreasi Air Terjun Titi Kerawang, Teluk Bahang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 8:44 PM
BANJIR yang berlaku di beberapa kampung di Teluk Kumbar dan Bandar Baru Teluk Kumbar, Balik Pulau, hari ini. Foto DANIAL SAAD
BANJIR yang berlaku di beberapa kampung di Teluk Kumbar dan Bandar Baru Teluk Kumbar, Balik Pulau, hari ini. Foto DANIAL SAAD