ANTARA suspek wanita dibawa ke mahkamah untuk perintah tahanan reman selama tujuh hari. FOTO NUR SALIAWATI SALBERI
ANTARA suspek wanita dibawa ke mahkamah untuk perintah tahanan reman selama tujuh hari. FOTO NUR SALIAWATI SALBERI
Nur Saliawati Salberi


SERAMAI 36 individu termasuk 26 wanita dipercayai terbabit dalam aktiviti menawarkan khidmat seks ditahan dalam serbuan Ops Noda di tiga hotel di sekitar bandar raya ini, petang semalam.

Operasi selama tiga jam bermula jam 2 petang dilakukan sepasukan polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah hasil risikan yang dilakukan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, seramai 26 wanita masing-masing dari Thailand, Indonesia, Bangladesh dan termasuk dua wanita tempatan berusia 24 hingga 39 tahun ditahan.

“Turut ditahan dalam operasi 10 lelaki iaitu dua pelanggan Bangladesh berusia 18 dan 31 tahun serta selebihnya penjaga premis berusia antara 28 hingga 64 tahun,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mendapati kegiatan ini dipercayai mula beroperasi sejak pertengahan Jun lalu.

“Ketiga-tiga serbuan ini dilakukan di dua hotel bajet di Jalan Munshi Abdullah dan di Jalan Kilang Melaka.

“Semua premis dipercayai mensasarkan pelanggan warga asing yang bekerja di sekitar bandar Melaka,” katanya.

Afzanizar berkata, semua mereka kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 11 Julai bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372A/372B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam kegiatan persundalan dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana menguruskan rumah persundalan.

“Manakala tangkapan warga asing pula turut disiasat mengikut Peraturan dan Akta Imigresen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 7:28 PM