GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Polis membongkarkan kegiatan sindiket pelacuran yang berselindung di sebalik perniagaan salun rambut, di sini, petang semalam.

Serbuan jam 4.30 petang itu dijalankan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Hasil pemeriksaan mendapati bahagian dalam salun rambut itu diubah suai dijadikan tempat kegiatan pelacuran terbabit dan beroperasi melalui pintu belakang bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa.

Ketika serbuan itu juga, ada tiga wanita warga asing berusia antara 22 hingga 25 tahun leka melayan tiga pelanggan berusia antara 43 tahun hingga 48 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata, polis menahan enam individu terbabit dan seorang lagi wanita berusia 48 tahun yang juga pemilik premis berkenaan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan polis mendapati pelanggan tetap ini akan menghubungi penjaga melalui aplikasi WhatsApp dan membuat tempahan bagi mendapatkan perkhidmatan sebelum datang ke premis itu.

"Polis akan terus menjalankan siasatan untuk mencari ahli sindiket lain yang terbabit dalam kegiatan ini," katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, sindiket itu menawarkan perkhidmatan seks menggunakan wanita asing dengan bayaran antara RM100 hingga RM200.

Sementara itu, Rahimi berkata, kesemua tangkapan kini disiasat mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan.

"Dalam pada itu, mereka juga turut disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan serta Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melanggar prosedur operasi standard," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 4:36 PM