Muhaamad Hafis Nawawi


ORANG ramai disaran memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan walaupun terdapat pengecualian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, ia bagi mengelak kesesakan di kaunter JPJ selepas PKPP ditamatkan.

Menurutnya, pengecualian ini selaras dengan Seksyen 66 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mereka boleh memandu kenderaan dengan syarat mempunyai perlindungan insurans yang masih sah.

"Selagi ada PKPP kita tidak akan mengambil tindakan memandu kenderaan dengan lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

"Namun orang ramai tetap disaran memperbaharuinya di 855 kaunter JPJ di seluruh negara yang sudah mula dibuka sejak 18 Mei lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Shaharuddin berkata, JPJ juga beroperasi Sabtu dan Ahad sehingga 1 tengah hari bagi memudahkan orang ramai untuk berurusan.

"Sehingga kini sebanyak lebih 2.1 juta cukai jalan tidak diperbaharui manakala lesen memandu juga lebih 2.1 juta belum diperbaharui," katanya.

Beliau berkata, bermula 1 Julai juga mereka yang ingin memperbaharui cukai jalan boleh menggunakan khidmat pintu ke pintu melalui pendigitalan dengan mendaftar ID awam di mySiKAP sebelum Pos Malaysia akan menghantarnya terus ke rumah.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan pengecualian memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan sepanjang tempoh PKP.

Berita berkaitan:

  • JPJ sediakan garis panduan bagi orang ramai [METROTV]
  • Boleh perbaharui lesen di Pos Malaysia
  • Tak perlu perbaharui lesen pada tempoh PKP
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 1:49 PM