KENDERAAN membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 8.07 pagi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KENDERAAN membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 8.07 pagi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tumpuan rakyat di seluruh negara kini terarah kepada penyelesaian kemelut politik negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah hari ini berhubung kedudukannya sebagai ketua kerajaan.

Namun, persoalan yang berlegar dalam kalangan pemerhati politik ialah apakah yang akan berlaku sama ada jawatan itu akan diganti atau sebaliknya.

Fokus juga tertumpu kepada Umno yang dikatakan mempunyai beberapa orang untuk dipertimbangkan sebagai calon Perdana Menteri.

Semalam beberapa pertemuan membabitkan pemimpin utama negara berlangsung antaranya membabitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainudin dipercayai berkaitan dengan pembentukan kerajaan baharu.

Namun, desas desus dari kem Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang dikatakan sudah 'bersedia' sekiranya tiada calon sesuai untuk jawatan itu.

Semalam, platform media sosial juga meriah dengan pelbagai poster ucapan tahniah kepada pemimpin tertentu kononnya dilantik ke jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Umno belum meutuskan untuk mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hari ini.

Setiausaha Kerjanya Datuk Sumali Reduan berkata, setakat ini belum ada ketetapan berhubung perkara itu.

"Setakat ini tidak ada. Sebarang perkembangan kita akan maklumkan nanti," katanya ketika dihubungi.

Pemerhatian wartawan mendapati isu politik kembali mendapat tempat di hati netizen sejak beberapa hari lalu.

Kebanyakan mereka berharap, siapa juga yang dilantik akan menyelesaikan isu peningkatan jangkitan Covid-19 yang membimbangkan di negara ini.

Tidak kurang juga ada yang beranggapan pentadbiran sedia ada dikekalkan sehingga masa sesuai untuk pembubaran parlimen dan Pilihan Raya Umum Ke -15.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 11:27 AM