DR Romzi Ationg. FOTO arkib NSTP
DR Romzi Ationg. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kota Kinabalu: Kerajaan gabungan boleh dibentuk di Sabah walaupun kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) masih belum didaftarkan sebagai satu gabungan.

Penganalisis politik Dr Romzi Ationg daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, kerajaan baharu boleh diperintah oleh gabungan yang terdiri daripada 17 wakil rakyat Perikatan Nasional (PN), 14 (BN), 7 (PBS) dan tiga wakil rakyat Bebas iaitu jumlah 41 wakil rakyat.

Bagi jawatan Ketua Menteri, beliau berkata, secara praktikal, parti dalam PN atau BN yang memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) berhak menuntut jawatan Ketua Menteri.

Datuk Hajiji Noor daripada PN-Bersatu dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Umno-BN) dikatakan sebagai kemungkinan menjadi calon untuk dilantik Ketua Menteri.

Susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam, pemimpin kanan PN, BN dan PBS mengadakan beberapa siri mesyuarat berhubung calon Ketua Menteri.

Petang tadi, pemimpin berkenaan menghadap Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Ketika meninggalkan Istana Negeri, Bung Moktar memberitahu pemberita bahawa Yang di-Pertua Negeri meminta sedikit waktu bagi memutuskan calon Ketua Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 7:17 PM