Tok Pora antara 222 warga emas yang menerma suntikan vaksin pada Program 'Outreach Imunisasi COVID-19 di Dewan KEDA Kampung Teluk Berembang, di Pulau Tuba, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Tok Pora antara 222 warga emas yang menerma suntikan vaksin pada Program 'Outreach Imunisasi COVID-19 di Dewan KEDA Kampung Teluk Berembang, di Pulau Tuba, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: "Tok kena cucuk tak sakit pun, malah rasa seronok, pakat-pakat la mai (datang) cucuk vaksin," kata Sepora Amin, 106, atau Tok Pora selepas menerima suntikan vaksin pada Program 'Outreach' Imunisasi Covid-19, di sini, hari ini.

Tok Pora yang juga nelayan tertua di pulau ini antara 222 warga emas dan berisiko yang menerima suntikan di Dewan KEDA Kampung Teluk Berembang, Pulau Tuba.

"Masa nak cucuk tadi, misi (jururawat) ada tanya, adakah tok ada pakai apa-apa ilmu..... dia kata kalau ada ilmu nanti jarum susah nak masuk.

"Tok jawab tiada sebarang ilmu dan tok seronok nak cucuk, kalau tak seronok, tak mai (datang) sini," katanya yang berkerusi roda akibat sakit lutut.

Media sebelum ini pernah melaporkan, Tok Pora adalah nelayan tertua yang memiliki kesihatan baik walaupun usianya melepasi satu abad dengan pendengaran dan daya penglihatan masih jelas tanpa berkaca mata.

Amalan memakan ulam dan ikan rebus, serta mengelak menu bergoreng sejak remaja menjadi resipi rahsia Tok Pora kekal sihat pada usia lebih 100 tahun.

Kehadiran Tok Pora turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Mohd Firdaus Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Program Vaksinasi Langkawi yang juga Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi yang kebetulan meninjau pelaksanaan program suntikan vaksin itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 4:44 PM