HAMIZA menyuapkan buah ke mulut Muhamad Iqmal yang menghidap kanser limfoma tahap empat sambil diperhatikan Norashikin di rumah mereka di Kampung Titi Serong, Yan, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
HAMIZA menyuapkan buah ke mulut Muhamad Iqmal yang menghidap kanser limfoma tahap empat sambil diperhatikan Norashikin di rumah mereka di Kampung Titi Serong, Yan, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


“WANG terkumpul setakat ini hanya RM32,000 dan tidak mencukupi kerana kami memerlukan sekurang-kurangnya RM18,000 lagi untuk mencukupkan RM50,000 bagi membeli ubat kanser seperti disarankan doktor.”

Begitulah luahan Hamiza Abdul Rahman, 42, yang masih kekurangan dana RM18,000 selepas RM32,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan daripada pembaca Harian Metro.

Sumbangan itu dikumpul selepas kisah anaknya, Muhammad Iqmal Mahazir, 19, yang menghidap kanser darah jenis Limfoma Hogdkins tahap empat disiarkan, dua bulan lalu.

Katanya, anaknya kini semakin lemah dan tidak berselera makan menyebabkan dia tidak dapat bergerak hingga banyak menghabiskan masa dalam bilik tidur di rumahnya di Kampung Titi Serong, Yan.

“Anak saya dikesan menghidap kanser sejak April tahun lalu dan pernah menjalani pembedahan transplan sumsum tulang di Hospital Ampang, Kuala Lumpur tetapi gagal.

“Muhamad Iqmal sepatutnya menjalani pembedahan itu sekali lagi, namun doktor memberitahu ia tidak sesuai kerana jantung dan paru-parunya lemah malah Muhammad Iqmal tidak setuju kerana bimbang gagal sekali lagi selain terpaksa mencari penderma,” katanya.

Hamiza berkata, dia bimbang keadaan kesihatan anaknya agak merosot dan hanya makan buah dalam kuantiti sedikit saja kerana tiada selera makan.

Katanya, mereka mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, namun ia tidak mencukupi kerana perlu mengumpul wang untuk membeli ubat dan kos berulang-alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

“Jika cukup jumlah RM50,000 itu, doktor meminta saya menghubunginya kerana bekalan ubat sudah ada, cuma kos agak tinggi untuk membayar ubat berkenaan.

“Kos itu merangkumi 18 dos ubat iaitu setiap satu dos mampu bertahan hanya tiga minggu dan fungsi ubat itu adalah mengelakkan kanser itu merebak ke seluruh badan,” katanya.

Hamiza berkata, lebih membimbangkan apabila bahagian bahu kiri anaknya membengkak akibat sel kanser yang sudah merebak.

Oleh itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi 017-5981506 atau melalui akaun Hamiza 7045847175 (CIMB Bank).

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarat Daerah Yan, Norashikin Idris yang turun menziarahi Muhamad Iqmal berkata, JKM sudah memberi bantuan pesakit terlantar sebanyak RM350 sejak Disember tahun lalu sehingga diperlukan.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan supaya ibu bapa Muhamad Iqmal membawa anaknya berjumpa dengan kaunseling di HSB di Alor Setar memandangkan dia tidak berselera makan dan banyak berfikir mengenangkan penyakitnya itu.

Selain itu, Sahabat Charity Balqish Kedah yang disertai Pengerusinya, Rukiza Abu Bakar dan wakil Komuniti Amal Jerai, Mohd Rosdi Yahya turut meluangkan masa bersama Muhammad Iqmal.

Harian Metro sebelum ini melaporkan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok, Sungai Petani menderita akibat penyakit kanser limfoma yang dialaminya sejak tahun lalu menyebabkan selera makannya terganggu dan kelihatan lemah.

Berita berkaitan

'Terlepas SPM angkara kanser'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 9:48 PM