FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Pandemik Covid-19 bukan saja mencetuskan krisis kesihatan dan ekonomi yang serius, tetapi turut menyebabkan ramai murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara tiba-tiba menjadi anak yatim 'ekspres' berikutan kematian ibu atau bapa atau kedua-duanya atau penjaga yang disebabkan oleh jangkitan virus terbabit.

Malah, rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan 4,422 murid kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya atau penjaga mereka di seluruh negara sehingga 13 September lalu.

Statistik yang dicatatkan juga menunjukkan kes di Selangor paling ramai, membabitkan 1,669 murid diikuti Johor dengan 578 murid dan Kuala Lumpur 488 orang murid.

Data terperinci menunjukkan 154 murid kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka dengan sekali lagi Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 107 murid.

Keadaan itu jelas menunjukkan wabak turut mencetuskan krisis sosial yang cukup serius dan tragis. Dalam sekelip mata anak-anak ini kehilangan tempat bergantung untuk selama-lamanya. Lantas masa depan mereka mula menjadi tanda tanya, khususnya bagaimana dengan status penjagaan, kebajikan, keselamatan dan persekolahan mereka?

Hakikatnya, murid-murid ini berhadapan dengan dugaan yang cukup besar untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Situasi ini pasti akan memberikan kesan jangka panjang kepada anak-anak ini jika kita tidak memberikan perhatian yang serius kepada masa depan mereka.

Justeru, atas semangat Keluarga Malaysia yang prihatin seluruh rakyat Malaysia perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga dan menyantuni anak yang tidak berdosa dan belum mengenal erti kehidupan ini.

Kita tidak boleh menutup mata atau mengabaikan nasib anak yatim seperti ini yang berada di sekeliling kita.

Antara kisah yang cukup tragis ialah, lima beradik di Pelabuhan Klang, Selangor menjadi yatim piatu apabila ibu dan bapa menjadi mangsa korban Covid-19.

Ibu dan bapa mereka, Ramlah Muktar, 43, serta Mohd Suhaimi Zakaria, 55, meninggal dunia masing-masing pada 31 Julai dan 7 Ogos lalu. Kini, kehidupan lima beradik itu yang berusia antara lima hingga 21 tahun mula menjadi tanda tanya.

Alhamdulillah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asar bersetuju mengambil mereka sebagai anak angkat Dun Selat Klang, hingga tamat belajar kelak.

Secara prinsipnya, kita memang berharap ahli keluarga atau waris terdekat yang bersedia dan mempunyai kemampuan untuk menjaga golongan anak yatim seperti ini sekurang-kurangnya hingga ke satu peringkat di mana mereka mampu berdikari dan boleh meneruskan kehidupan tanpa bergantung kepada orang lain.

Dalam hal ini, kita berharap ahli keluarga tidak lari atau mengelak dari tanggungjawab, sebaliknya terimalah mereka seadanya sama seperti anak sendiri. Ironinya, mereka tidak pernah meminta untuk menerima nasib seperti ini, justeru inilah masanya kita sebagai waris memikul tanggungjawab melindungi dan menjaga mereka.

Walaupun ia akan menambahkan beban baik dari segi tanggungjawab mahupun kewangan, namun percayalah menjaga anak yatim adalah satu sifat yang cukup mulia dan dijanjikan ganjaran yang selayaknya oleh Allah SWT.

Pada masa sama, sudah tentu kita juga meletakkan harapan yang tinggi kepada agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak yatim seperti ini. Malah, lega apabila baru-baru ini, Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Harun memaklumkan kementeriannya akan membantu semua anak yatim yang menjadi mangsa Covid-19 dari pelbagai sudut dalam memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela.

Menurut Rina lagi, jika waris terdekat tidak mampu memikul tanggungjawab, mereka akan ditempatkan di beberapa institusi penempatan dan perlindungan kanak-kanak yang disediakan pihak KPWKM, sama ada secara sementara atau tetap.

Antara institusi yang terlibat adalah Rumah Kanak Kanak (RKK) Pokok Sena, RKK Mini Kelantan, Taman Sinar Puteri (TSP) Batu Gajah, TSP Cheras, TSP Kota Kinabalu, TSP Kuching serta Rumah Budak Lelaki (RBL) Melaka. Malah, kanak-kanak yang itu juga, akan diberi kaunseling secara berkala oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Lembaga Kaunselor Malaysia agar keadaan emosi mereka sentiasa terjaga dan berada pada tahap yang baik.

Semoga usaha dan inisiatif dari pihak kerajaan akan terus membela nasib golongan anak yatim 'ekspres' seperti ini.

Di samping itu, kalangan dermawan, pemimpin masyarakat serta badan bukan kerajaan (NGO) juga boleh terus memainkan peranan yang bermakna untuk membantu meringankan beban golongan ini.

Misalnya, rumah kebajikan di bawah kelolaan NGO juga boleh menjadi pusat penempatan dan perlindungan golongan ini.

Perkongsian tanggungjawab seperti ini dapat mewujudkan kerjasama menang-menang antara semua pihak.

Manakala, kalangan dermawan dan pemimpin masyarakat pula boleh bertindak sebagai individu yang menghulurkan sumbangan mahupun membantu mengutip dana yang diperlukan untuk membantu kumpulan ini.

Inilah masanya kita melaksanakan amanah dan tanggungjawab atas semangat ikatan Keluarga Malaysia demi membantu anggota masyarakat yang ditimpa musibah.

Semoga bantuan yang disediakan oleh pihak berkaitan secara kolaborasi dan muafakat yang strategik atas nama Keluarga Malaysia dapat menyantuni golongan anak yatim 'ekspres' seperti ini.

Sesungguhnya mereka kini menjadi tanggungjawab kita semua.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 6:15 AM