DATUK Seri Rina Mohd Harun (kanan) ketika meninjau ketersedian Rumah Kanak-Kanak (RKK) Pokok Sena untuk menerima kemasukan anak-anak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Seri Rina Mohd Harun (kanan) ketika meninjau ketersedian Rumah Kanak-Kanak (RKK) Pokok Sena untuk menerima kemasukan anak-anak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid. FOTO Luqman Hakim Zubir
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Remaja perempuan Sindrom Down (SD) yang dipercayai menjadi mangsa dera menunjukkan perubahan positif apabila dilihat semakin ceria selain luka-luka di badannya kembali pulih.

Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, remaja dikenali sebagai Bella kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan tahap kesihatan serta pembangunan emosinya berada pada tahap terbaik.

"Saya sendiri ada melihat dan melawatnya, adik Bella kini turut dibantu dari sudut perkembangan emosi.

"Dia semakin ceria dan menunjukkan perubahan yang positif selepas berada di bawah jagaan kita (JKM)," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan dan pemantauan pengoperasian Rumah Kanak-Kanak (RKK) Pokok Sena, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Rina berkata, pihaknya menggesa pihak berkuasa agar dapat memastikan pelaku diheret ke muka pengadilan dengan segera.

Katanya, ia bagi memastikan pengajaran dapat diberikan kepada pihak terbabit selain kes yang sama tidak akan berulang pada masa akan datang.

"Saya juga sudah berhubung dengan pihak berkuasa untuk bertanya status atau perkembangan kes adik Bella dan difahamkan siasatan sudah selesai, kini hanya menunggu tindakan daripada pihak pendakwa raya untuk meneruskan kes ini ke peringkat seterusnya.

"Kita pun hendak pesalah ini dibawa ke muka pengadilan dengan segera supaya ia akan jadi satu pengajaran kepada yang lain," katanya.

Pada 13 Julai lalu, polis mengesahkan kertas siasatan Bella dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi penelitian.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dipetik berkata, pihaknya turut mengemukakan beberapa cadangan untuk penilaian berhubung kes terbabit.

Terdahulu, JKM Kuala Lumpur turut menyita sebuah rumah kebajikan yang terbabit dalam siasatan kes penderaan Bella.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 4:59 PM