BERNAMA

Kuching: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian tembak yang mengakibatkan empat anggotanya maut di kem di Kota Samarahan di sini, pagi tadi.

TUDM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan berlaku satu insiden tembakan membabitkan empat warga TUDM pada jam 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching ketika waktu anggota bertugas.

"Pihak TUDM menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh polis selesai.

"TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian," menurut kenyataan itu.

Empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam kejadian tembakan di kem TUDM di Kota Samarahan di sini, pagi tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata buat masa ini pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai insiden itu.

"Ya berlaku, tetapi buat masa ini siasatan masih dijalankan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Berita berkaitan

Anggota TUDM tembak tiga rakan sebelum menembak diri sendiri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 11:42 AM