ANTARA coretan Adriana Darsya Norizuwan sebagai luahan rindu kepada bapanya. FOTO Ihsan Nurhaffizzah Jamal
ANTARA coretan Adriana Darsya Norizuwan sebagai luahan rindu kepada bapanya. FOTO Ihsan Nurhaffizzah Jamal
Hassan Omar


Melaka: "Allah sayang papa. Ini ialah ujian. Mama sayang papa. Mama nangis sampai semput. Orang pun nangis. Orang sayang papa."

Itulah luahan hati anak sulung Allahyarham Norizuwan Omar, 34, Adriana Darsya, 10, sejak arwah meninggal dunia akibat pandemik

Covid-19 pada awal pagi Isnin lalu.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam, Tanjung Kling dekat sini itu melakarkan luahan hati sanubarinya dengan

menggunakan pensel dan kertas kerana terlalu merindui arwah bapanya.

Ibunya, Nurhaffizzah Jamal, 34, berkata sejak pemergian Norizuwan yang dipanggil papa, Adriana menghabis waktu dengan menulis dan melukis.

"Adriana meluahkan rasa hatinya melalui pensel dan kertas bagi melakarkan betapa dia amat kasih akan arwah bapanya.

"Dia juga melukis gambar arwah, saya, dia dan adiknya, Aleesya Qaisarah berusia enam tahun, sebelum mengguntingnya untuk dilekatkan pada buku.

"Saya terpaksa menjelaskan kepadanya papa sudah tiada dan tidak akan kembali lagi untuk selama-lamanya kerana Allah lebih menyayanginya dan dia nampak memahaminya," katanya ketika dihubungi di kediamannya di Kampung Bukit Darat, Tanjung Kling hari ini.

(kiri) ADRIANA Darsya ketika membuat coretan buat bapanya. (kanan) Gambar kenangan Norizuwan bersama keluara. FOTO Ihsan Nurhaffizzah Jamal.
(kiri) ADRIANA Darsya ketika membuat coretan buat bapanya. (kanan) Gambar kenangan Norizuwan bersama keluara. FOTO Ihsan Nurhaffizzah Jamal.

Nurhaffizzah dan dua anaknya menjalani kuarantin kendiri sejak kelmarin hingga 28 Ogos ini.

Norizuwan meninggal dunia selepas mengadu sakit dada di kediamannya kira-kira jam 6.50 pagi Isnin lalu selepas disahkan positif Covid-19 pada 4 dan 6 Ogos lalu tetapi hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Pada peringkat awal, arwah dilaporkan hanya mengadu sakit dada tetapi mengalami batuk yang teruk dan sakit dada semakin serius pada jam 6 pagi Isnin lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 11:21 AM