GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Keadaan kuarters atau rumah sewa pekerja yang padat dengan penghuni sekali lagi menjadi punca penularan dan pencetus kluster Covid-19 yang membabitkan pekerja kilang.

Kali ini, kes seumpama itu dikesan di sebuah kilang papan di Sook, Keningau yang menjadi kluster terbaharu berkaitan kilang dilaporkan di Sabah semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Batu 27 Sook itu dikesan selepas seorang pekerja wanita bukan warganegara disahkan positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 9 Ogos lalu.

Katanya, kes indeks berumur 23 tahun itu kemudian membawa kepada penemuan empat lagi kes positif dalam kalangan rakan sekerjanya yang dikesan pada hari yang sama.

"Setakat hari ini (semalam), daripada 136 orang yang disaring, 55 kes didapati positif termasuk 50 kes baharu. Jumlah itu dikesan hasil saringan di kuarters pekerja atas inisiatif pengurus perusahaan dan kuarters.

"Penularan dalam kluster ini dipercayai berpunca daripada pergaulan rapat antara penghuni rumah sewa yang padat," katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, kluster baharu itu menyumbang kes tertinggi bagi kategori saringan kluster di Sabah yang secara keseluruhan mencatat 118 kes semalam.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat 1,514 kes baharu Covid-19 semalam, iaitu yang tertinggi pernah direkodkan setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 8:39 AM