PENDUDUK sekitar Gombak melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma. FOTO Rohanis Shukri.
PENDUDUK sekitar Gombak melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma. FOTO Rohanis Shukri.
Izwan Abdullah
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Kluster Tembok Kota Kinabalu yang membabitkan jangkitan Covid-19 di Penjara Kepayan, di sini, mencatat 27 lagi kes baharu, menjadikannya kluster paling aktif di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Kuarters Bata Durok yang dilaporkan di Keningau semalam, turut mencatat kes baharu yang tinggi hari ini, iaitu sebanyak 23 kes.

"Empat lagi kluster aktif di Sabah hari ini ialah Kluster Serudung Baru (15 kes), Kluster Paris Tiga (11 kes), Kluster Kebayau (enam kes) dan Kluster Brumas Camp (lima kes). Tiada kluster baharu direkodkan hari ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Kudat dan Keningau mencatat peningkatan kes positif Covid-19 tertinggi dengan jumlah kes baharu di ketiga-tiga daerah itu mewakili separuh daripada 258 kes yang dilaporkan di Sabah, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, Kota Kinabalu mencatat kes baharu terbanyak dengan 71 kes, diikuti Kudat (36 kes) dan Keningau sebanyak 23 kes menjadikan jumlahnya sebanyak 130 kes.

Katanya, peningkatan kes di Kota Kinabalu kebanyakannya disumbangkan melalui saringan kluster sedia ada dengan kes paling banyak menerusi Kluster Tembok Kota Kinabalu iaitu sebanyak 27 kes, diikuti Kluster Samudera (dua kes) dan Kluster Jalan Bundusan (satu kes).

"Turut menyumbang kepada peningkatan kes di Kota Kinabalu hari ini ialah 18 kes yang berpunca daripada saringan bersasar, saringan kontak rapat (12 kes) dan 11 kes menerusi berpunca pelbagai saringan.

"Bagi daerah Kudat pula, daripada 36 kes hari ini, sebanyak 19 kes berpunca daripada saringan kontak rapat, diikuti saringan bersasar (16 kes dan satu kes dikesan melalui saringan bergejala.

"Di Keningau pula, 23 kes yang direkodkan di daerah itu hari ini semuanya berpunca daripada saringan Kluster Kuarters Bata Durok, iaitu kluster berpunca dari sebuah kilang batu bata yang dilaporkan, semalam," katanya.

Semalam, Kota Kinabalu mencatat 38 kes, manakala Kudat dan Keningau masing-masing 34 dan 11 kes.

Selain tiga daerah itu, Tawau turut mencatat kes yang tinggi hari ini dengan sebanyak 42 kes, meningkat sebanyak 31 kes berbanding hanya 11 kes, semalam.

Hari ini juga menyaksikan daerah Tenom yang berada dalam zon hijau sejak beberapa hari lalu kembali ke zon kuning selepas mencatat satu kes baharu.

Ia menjadikan Beluran satu-satunya kekal sebagai daerah hijau, manakala 17 daerah berada dalam zon merah dan dua daerah dalam zon jingga, manakala tujuh daerah dalam zon kuning.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 9:03 PM