FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Sabah hari ini mencatatkan dua kluster baharu masing-masing di daerah Kota Belud dan Kinabatangan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata dua kluster terbabit, Kluster Siasai Tamu di Kota Belud mencatatkan 11 kes manakala Kluster Tenegang di Kinabatangan pula 20 kes.

"Bagi Kluster Siasai Tamu, kes indeks adalah guru wanita pra-sekolah berusia 46 tahun yang disahkan positif Covid-19 melalui saringan bergejala di salah sebuah pusat perubatan di Kota Belud.

"Berdasarkan rekod, kes indeks menghadiri majlis kenduri arwah di rumah kakaknya. Hasil saringan kontak rapat mendapati enam individu positif di rumah manakala empat lagi dikesan positif melalui saringan tempat

kerja (sekolah).

"Setakat ini, seramai 162 orang penduduk di Kampung Siasai sudah menjalani saringan," katanya.

Mengulas Kluster Tenegang, Masidi berkata kes indeks adalah pekerja kilang sawit yang merentas zon untuk melawat keluarga dan disahkan positif melalui saringan bergejala.

"Saringan kontak rapat mendapati 19 lagi kes positif masing-masing tujuh kes membabitkan pekerja kilang dan 12 kes adalah ahli keluarga pekerja itu.

"Aktiviti saringan masih giat dijalankan di samping persampelan Covid-19 serta disinfeksi untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas ke ladang berhampiran," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 9:09 PM