Dr Mohd Uzir Mahidin
Dr Mohd Uzir Mahidin
BERNAMA

JUMLAH penduduk negara ini yang berusia 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 2.23 juta pada suku keempat tahun 2019 berbanding 2.14 juta bagi tempoh sama pada 2018.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, trend peningkatan itu turut berlaku di negara maju lain yang menuju ke arah negara warga tua.

Menurutnya, ia berdasarkan laporan Perangkaan Demografi diperolehi pihaknya.

“Dalam tempoh sama, beliau berkata komposisi jumlah (golongan muda) berumur 0 hingga 14 tahun pula menurun kepada 7.55 juta daripada 7.65 juta pada suku keempat 2018.

“Sementara itu populasi penduduk berumur 15 hingga 64 tahun (golongan bekerja) meningkat daripada 22.69 juta (suku keempat 2018) kepada 22.90 juta,” katanya, semalam.

Mohd Uzir berkata, penduduk negara ini dianggarkan berjumlah 32.68 juta pada suku keempat tahun 2019, meningkat 0.6 peratus berbanding 32.48 juta suku keempat 2018.

“Jumlah itu merangkumi 29.54 juta (90.4 peratus) warganegara dan 3.15 juta (9.6 peratus) bukan warganegara, katanya.

Mohd Uzir berkata, pada suku keempat 2019, jumlah penduduk lelaki meningkat kepada 16.88 juta daripada 16.77 juta pada suku keempat 2018, sementara jumlah penduduk perempuan meningkat kepada 15.81 juta daripada 15.72 juta dalam tempoh sama.

“Nisbah jantina kekal pada 107 lelaki setiap 100 perempuan,” katanya.

Mohd Uzir berkata 124,240 jumlah kelahiran hidup dicacatkan pada suku keempat 2019, menurun kepada 2.3 peratus berbanding 127,168 kelahiran pada suku keempat 2018.

Sebanyak 43,623 jumlah kematian direkodkan pada suku keempat 2019, meningkat 0.8 peratus berbanding 43,264 kematian pada suku keempat tahun 2018, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 6:01 AM