Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Seremban: Seorang peniaga wanita berusia 36 tahun kerugian RM105,523 selepas diperdaya seorang lelaki yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook sejak hujung 2018.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa berkenalan dengan pemilik Facebook bernama 'KA Agus' dari Palembang, Indonesia.

"Pada awalnya mereka hanya berinteraksi dalam 'Messenger' Facebook dan kemudian berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Selepas itu lelaki terbabit meminta wang daripada mangsa kononnya untuk menyelesaikan masalah kewangan dihadapinya.

"Lelaki itu sering meminta wang daripada mangsa bagi menyelesaikan masalah keluarga dihadapi. Suspek turut berjanji akan membayar kesemua pinjaman itu selepas menjual tanahnya di Indonesia," katanya semalam.

Beliau berkata atas dasar percaya, mangsa mengirimkan wang kepada lelaki itu secara berperingkat ke 19 akaun yang berbeza bermula 31 Ogos 2019, membabitkan 37 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM105,523.

Katanya, cara pengiriman wang kepada lelaki itu dilakukan menerusi ejen kiriman wang seperti Bank Central Asia, Bank Rakyat Indonesia dan Bank Mandiri Indonesia di sekitar Bahau, Negeri Sembilan.

Aibee berkata, mangsa yang tinggal di Felda Serting Hilir, Jempol, menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis pada Isnin lalu.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihati berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta menerusi laman sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 4:57 PM