GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang juruteknik kilang kerugian lebih RM200,000 akibat terpedaya dengan kecantikan dan janji manis gadis bernama Mei Ling yang hanya dikenalinya menerusi Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, mangsa berusia 45 tahun mengenali Mei Ling yang menyamar sebagai doktor dari Yaman pada Januari lalu menerusi Facebook sebelum menjalinkan hubungan persahabatan.

"Mei Ling memberitahu bahawa dia menghantar bungkusan berisi wang berjumlah AS$1 juta kepada mangsa, namun lelaki terbabit perlu membuat pembayaran bagi penghantaran parcel itu.

"Mangsa kemudiannya memasukkan wang berjumlah RM25,137 ke dalam satu akaun bank tempatan atas nama seorang wanita pada 18 Februari lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aibee berkata, pada 10 Mac lalu mangsa sekali lagi memasukkan wang berjumlah RM60,650 ke dalam akaun sama dan pada 14 Mac memasukkan wang sebanyak RM60,000 ke dalam satu akaun bank tempatan atas nama seorang wanita lain.

"Kedua-dua transaksi ini bagi melepaskan bungkusan pengadu yang kononnya tersangkut di bahagian kastam di negara Kemboja dan di lapangan terbang negara berkenaan," katanya.

Menurut Aibee, lelaki berkenaan kemudiannya memasukkan wang bernilai RM76,686 ke dalam satu akaun bank tempatan pada 28 Mac selepas Mei Ling menjelaskan bahawa ia bagi proses penukaran nama bungkusan.

"Mei Ling sekali lagi meminta supaya memasukkan wang berjumlah RM41,000 pada 31 Mac, kerana kononnya bungkusan sudah tiba di lapangan terbang di negara ini, namun mangsa enggan membuat bayaran kerana terasa ditipu," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang sudah berkahwin berkenalan dengan Mei Ling selama sebulan dan terpedaya dengan kecantikan serta janji manis diberikan suspek.

"Keempat-empat transaksi berjumlah RM222,473 dilakukan secara tunai di kaunter bank dan pihak bank ada bertanyakan transaksi itu, namun suspek sudah mengajar mangsa supaya memberikan alasan seperti membayar hutang dan meminjamkan wang kepada rakan," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 10:08 AM