Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang guru wanita terpaksa berputih mata selepas kerugian RM105,461 akibat terpedaya dengan sindiket menawarkan pinjaman wang di Facebook (FB).

Ia selepas mangsa yang berusia 36 tahun melakukan 30 pemindahan wang bagi mendapatkan pinjaman wang RM10,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, pada 24 Ogos, mangsa melayari FB sebelum melihat satu pautan menawarkan pinjaman wang.

Beliau berkata, dia kemudiannya bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM10,000 dan menghantar salinan MyKad dan slip gaji kepada dua individu.

"Tidak lama selepas menyerahkan dokumen berkenaan, mangsa diberitahu bahawa pinjaman diluluskan, namun dia perlu membuat bayaran bagi duti setem, bayaran kewangan, yuran pemprosesan, yuran perjanjian dan Internet.

"Mangsa kemudian membuat bayaran melalui dalam talian kepada 12 akaun bank yang berbeza-beza sebanyak 30 kali tranksaksi berjumlah RM105,461," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun rasa tertipu kerana individu terbabit sering meminta memasukkan wang.

"Dia kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bahau, semalam," katanya.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 9:48 AM