DARAH penderma di Pusat Darah Negara (gambar fail, sekadar hiasan). FOTO Amirudin Sahib
DARAH penderma di Pusat Darah Negara (gambar fail, sekadar hiasan). FOTO Amirudin Sahib
Mohd Amin Jalil


Seremban: Stok bekalan darah di semua hospital awam di Negeri Sembilan mengalami penurunan yang ketara dengan berbaki sekitar 25 peratus ketika ini, berbanding sebelum ini pada tahap 50 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan S Veerapan berkata, darah jenis O, A dan B mengalami penurunan yang ketara dan memerlukan bekalan stok dengan kadar segera.

Beliau berkata, kebiasaannya pihak hospital mempunyai simpanan stok darah secara optimum pada tahap 50 peratus.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya ketika ini stok bekalan darah mengalami penyusutan yang ketara dengan berbaki kira-kira 25 peratus dengan darah jenis 0, A dan B berada pada tahap stok bekalan yang rendah.

"Berbanding hospital lain, penggunaan bekalan darah lebih banyak tertumpu di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban yang mencecah lebih 70 peratus berikutan menerima ramai pesakit Covid-19 yang mendapatkan rawatan di hospital itu selain pesakit lain.

"Justeru, keperluan darah bagi menampung paras stok tabung darah di hospital-hospital awam amat diperlukan berikutan situasi wabak pandemik Covid-19 ini yang belum reda dan berakhir," katanya kepada NSTP ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Veerapan berkata, bagi membantu pihak hospital dan pesakit, orang ramai diminta terus menderma darah melalui unit tabung darah di hospital berkenaan.

Menurutnya, mereka tidak perlu bimbang untuk menderma darah kerana Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang sentiasa mengutamakan keselamatan penderma darah.

"Kita amat mengalu-alukan masyarakat untuk terus menderma darah kepada tabung darah hospital bagi membantu pesakit yang memerlukan.

"Mereka tidak perlu bimbang kerana proses pendermaan darah dilakukan dengan selamat," katanya.

Veerapan turut memaklumkan jadual menderma darah secara terus tanpa janji temu (walk-in) diadakan di Unit Tabung Darah Hospital Tampin pada 11, 18 dan 25 Ogos ini antara 8.30 pagi hingga 12.45 tengah hari.

Manakala, katanya, program sama diadakan di Dewan Mutiara Kompleks Pengurusan Hospital Port Dickson pada 14, 21 dan 28 Ogos ini mulai 9 pagi hingga 2 petang.

"Bagi di HTJ pula, orang ramai boleh terus ke Unit Tabung Darah hospital berkenaan untuk menderma darah," katanya.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan bahawa penularan Covid-19 di negara ini memberi kesan kepada bekalan darah di hospital awam berikutan kadar penurunan bilangan penderma.

Dr Noor Hisham dipetik berkata, purata darah yang diperlukan setiap minggu adalah sebanyak 14,000 beg darah dan sekiranya trend penurunan yang membimbangkan itu berterusan maka secara tidak langsung akan menjejaskan keupayaan hospital dalam merawat pesakit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 5:31 PM