ANTARA individu yang menderma, darah di Pusat Tabung Darah Hospital Segamat disini, hari ini. FOTO Ahmad Ismail
ANTARA individu yang menderma, darah di Pusat Tabung Darah Hospital Segamat disini, hari ini. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

Segamat: Stok bekalan darah di Pusat Tabung Darah Hospital Segamat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengalami penurunan sebanyak 55 peratus berbanding sebelum ini.

Pengarah Hospital Segamat Dr Azhar Mohd Sali berkata, jumlah kutipan darah sepanjang pelaksanaan PKP sejak Mac tahun lalu hanya 45 peratus dan jumlah berkenaan dilihat semakin berkurangan ketika PKP bermula semula pada 22 Januari lalu apabila mengalami pengurangan 55 peratus.

Katanya, tabung darah mengalami kekurangan penderma akibat pembatalan beberapa lokasi kempen derma darah di luar kawasan hospital bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Tabung darah memerlukan sekurang-kurangnya 420 paket darah bagi persediaan stok simpanan setiap bulan.

"Penurunan kutipan darah itu amat membimbangkan memandangkan kini banyak perkhidmatan elektif di hospital antaranya pembedahan dan keperluan mangsa kemalangan.

"Bekalan darah ini juga bagi keperluan kepada penghidap anemia, pesakit di wad bersalin dan juga pembedahan.

"Menjelang sambutan Tahun Baru Cina dan cuti perayaan lain yang bakal tiba, kebiasaannya pola pendermaan darah rendah," katanya.

Dr Azhar berkata, orang ramai diminta datang menderma darah di Pusat Tabung Darah Hospital Segamat supaya bekalan darah berterusan dan mencukupi.

"Operasi perkhidmatan Pusat Tabung Darah Hospital Segamat dibuka pada Ahad hingga Rabu dengan waktu menderma dari jam 8 pagi hingga 4 petang manakala Khamis pada jam 8 pagi hingga 2.30 petang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 3:49 PM