GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital awam di negeri ini menunjukkan penurunan apabila ia mencapai 77 peratus ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, situasi itu berbeza sebelum ini apabila ia mencecah sehingga 150 peratus.

Katanya, hanya ICU di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban sahaja yang penggunaannya masih tinggi iaitu 103 peratus.

"Situasi ini menunjukkan katil ICU di hospital awam di negeri ini mempunyai kekosongan kecuali di HTJ.

"Bagaimanapun, secara puratanya, ia sudah menunjukkan pengurangan besar berbanding sebelum ini yang mencecah sehingga 150 peratus.

"Malah, kes pesakit Covid-19 di negeri ini yang dikategorikan sebagai 3, 4 dan 5 juga semakin berkurangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah berkata, perkembangan baik itu adalah hasil daripada pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang berjalan lancar dan berkesan.

Beliau berkata, kadar suntikan vaksin dalam kalangan rakyat negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas sudah mencecah 87 peratus bagi dos pertama manakala 66 peratus pula sudah melengkapkan kedua-dua dos.

"Justeru kerajaan negeri yakin sasaran 80 peratus imuniti berkelompok atau kira-kira 820,000 orang penduduk negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19 akan dapat dicapai menjelang Oktober ini," katanya.

Dalam pada itu, Veerapan berkata, kerajaan negeri berharap kadar vaksin yang diterima negeri itu kekal pada kadar yang ditetapkan walaupun berlaku pertukaran kepemimpinan di peringkat Persekutuan.

"Ini penting untuk memastikan program vaksinasi tidak terjejas kerana vaksin adalah kaedah selamat dalam membendung penularan pandemik ini.

"Justeru, kita (kerajaan negeri) berharap Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dapat menyalurkan jumlah vaksin yang secukupnya supaya proses suntikan vaksin berjalan lancar dalam usaha mencapai imuniti berkelompok ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 6:03 PM