Anak ular adalah antara haiwan eksotik yang dirampas anggota PGA9 di tebing Sungai Golok berdekatan pangkalan haram Bilah Dollah, di sini, semalam.FOTO IHSAN PGA9
Anak ular adalah antara haiwan eksotik yang dirampas anggota PGA9 di tebing Sungai Golok berdekatan pangkalan haram Bilah Dollah, di sini, semalam.FOTO IHSAN PGA9
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Penyeludup bertindak melarikan diri serta meninggalkan pelbagai haiwan eksotik bernilai RM67,600 di tebing Sungai Golok berdekatan pangkalan haram Bilah Dollah, di sini, semalam.

Kesemua suspek bertindak sedemikian selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa dengan meninggalkan kotak berisi 206 katak, 50 labi-labi, 24 anak ular, tiga ekor burung kakak tua dan seekor iguana.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Superitenden Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian jam 7 malam itu, anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak sekumpulan lelaki sedang mengangkat kotak dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota kemudian mendekati kumpulan berkenaan, namun kesemua mereka bertindak melarikan diri dengan menggunakan perahu ke sebelah Thailand serta meninggalkan kotak terbabit.

"Hasil pemeriksaan lanjut, menemui kesemua haiwan eksotik terbabit yang dipercayai dibawa seludup dari negara jiran melalui jalan yang tidak diwartakan disyaki untuk pasaran tempatan.

"Kesemua haiwan eksotik ini dirampas dan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, memburu atau menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran," katanya dalam sebuah kenyataan media, hari ini.

Nor Azizan berkata, semua rampasan haiwan eksotik itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 4:42 PM