Pegawai Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Inspektor Mohd Hamdan Mustafa (tengah) dan anggotanya menunjukkan labi-labi antara haiwan eksotik bernilai RM1.5 juta yang cuba diseludup ke Vietnam di Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto AZLAN HAFEEDZ
Pegawai Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Inspektor Mohd Hamdan Mustafa (tengah) dan anggotanya menunjukkan labi-labi antara haiwan eksotik bernilai RM1.5 juta yang cuba diseludup ke Vietnam di Tok Bali, Pasir Puteh. - Foto AZLAN HAFEEDZ
BERNAMA

Pasir Puteh: Pasukan Polis Marin (PPM) Kelantan menahan empat lelaki dan merampas sejumlah besar haiwan eksotik bernilai RM1.5 juta dipercayai cuba diseludup ke negara jiran, malam tadi.

Pegawai Operasinya Insp Hamdan Mustafa berkata antara haiwan eksotik yang dirampas itu termasuk kura-kura, labi-labi, musang dan babi hutan yang sudah disejuk beku dan yang masih hidup.

Menurutnya keempat-empat suspek berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan ketika sedang mengangkut haiwan eksotik itu dari beberapa kenderaan ke bot nelayan di Limbungan Sireh, Tok Bali, kira-kira pukul 9 malam tadi.

"Dua daripada suspek adalah rakyat negara jiran dan dua lagi rakyat tempatan," katanya ditemui di sini, hari ini.

Hamdan berkata haiwan eksotik itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

"Ini kes pertama membabitkan rampasan haiwan eksotik tahun ini dan yang terbesar setakat ini hasil maklumat orang awam dan risikan polis.

"Kita akan terus memantau aktiviti penyeludupan haiwan eksotik ke luar negara memandangkan ia mendapat permintaan tinggi dari negara jiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 7:37 PM