FOTO hiasan
FOTO hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jumlah kumulatif kes demam denggi di negara ini berkurangan sebanyak 47,423 kes atau 74.1 peratus bagi tempoh Januari hingga 6 Ogos tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bagi tempoh berkenaan tahun ini sebanyak 16,565 kes dilaporkan berbanding 63,988 kes pada tahun 2020.

Beliau berkata, purata bilangan kes mingguan demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 534 kes seminggu berbanding 1,700 kes seminggu tahun lalu 2,500 kes seminggu pada tahun 2019.

"Pada tahun ini, semua negeri di Malaysia menunjukkan penurunan kes demam denggi berbanding tahun lalu dengan penurunan di antara 20 peratus sehingga 94 peratus.

"Manakala bilangan kematian demam denggi sehingga kini adalah sebanyak 10 kematian berbanding 106 bagi tempoh sama tahun 2020, iaitu pengurangan jumlah kematian sebanyak 96 (90.6 peratus)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata walaupun negara sedang bergelut dengan wabak pandemik Covid-19 ketika ini, semua pihak tidak boleh mengabaikan usaha pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit lain seperti demam denggi kerana kealpaan boleh menyebabkan kejayaan yang sudah dicapai akan terhapus dalam sekelip mata.

Jika itu berlaku, katanya, ia akan merumitkan lagi keadaan kerana Malaysia akan berhadapan dengan ancaman kesihatan awam berganda dari penyakit denggi dan akan memberi tekanan tambahan kepada barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Tambahan pula, penyakit denggi belum ada vaksin yang benar-benar berkesan untuk melindungi penduduk dari jangkitan berterusan.

"Usaha yang terbukti berkesan perlu diteruskan bagi mengekalkan kejayaan menurunkan beban penyakit denggi.

"Justeru, komitmen penuh dan kerjasama padu daripada penduduk setempat, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) amat diperlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 4:26 PM