KKM menjangkakan peningkatan kes demam denggi dalam gelombang kedua, bermula awal Jun hingga September. FOTO Arkib NSTP
KKM menjangkakan peningkatan kes demam denggi dalam gelombang kedua, bermula awal Jun hingga September. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

KETIKA memerangi Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus komited memastikan demam denggi terkawal dalam komuniti.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sejak Januari hingga Sabtu lalu, sebanyak 50,511 kes demam denggi dengan 88 kematian dilaporkan berbanding 56,819 kes dan 88 kematian dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes bagi tempoh itu berkurang berbanding tahun lepas, namun sejak lapan minggu lalu, trend peningkatan dikesan dengan purata lapan peratus seminggu.

"Berdasarkan trend itu, KKM menjangkakan peningkatan kes demam denggi dalam gelombang kedua, bermula awal Jun hingga September ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Adham berkata, sempena sambutan Hari Denggi Peringkat Asean, tema "10 Minit Hapuskan Aedes" dipilih pada peringkat kebangsaan tahun ini.

Katanya, tema itu bertujuan mewujudkan komitmen dan kerjasama padu dari semua pihak termasuk masyarakat, jabatan, agensi kerajaan mahupun swasta untuk menangani masalah denggi.

"Tema ini juga selari dengan hala tuju KKM dalam pencegahan denggi yang memberi penekanan peranan komuniti menjalankan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes secara kendiri.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masyarakat disaran untuk terus melakukan aktiviti pencegahan denggi dengan mengutamakan penjarakan sosial, memakai pelitup muka serta kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan cecair sanitasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 2:44 PM