Zaid Salim


Kuala Nerus: Dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditambah pula dengan putus bekalan air, itu nasib menimpa kira-kira 25,000 penduduk Dun Buluh Gading.

Bekalan air di lokaliti terbabit putus sejak empat hari lalu ekoran kejadian pembentung bersaiz 1,200 milimeter di dasar Sungai Terengganu pecah, Isnin lalu.

Namun penduduk 19 kampung yang dikenakan PKPD Mukim Manir itu dapat menarik napas lega apabila pelbagai bantuan keperluan harian termasuk bekalan air bersih dihantar kepada mereka.

Penduduk, Rahimah Muda, 43, berkata, tindakan menempatkan bekalan air di Pusat Khidmat DUN Buluh Gading yang dijadikan sebagai pusat sehenti (one stop centre) memudahkan penduduk mendapatkan bekalan.

"Malah penghantaran air dari rumah ke rumah dibuat secara berkala sememangnya memudahkan penduduk yang ketika ini terbatas pergerakan kerana PKPD.

"Tindakan ini mengelak penduduk berkumpul di pusat sehenti dan seterusnya mengelak berlaku penularan wabak Covid-19," katanya ketika ditemui selepas sukarelawan membuat penghantaran air menggunakan kenderaan pacuan empat roda di Kampung Jeram, Manir, semalam.

Bekalan air di pusat sehenti berkenaan adalah antara usaha dilakukan Parlimen Kuala Nerus dalam memastikan semua penduduk dalam parlimen berkenaan membabitkan empat DUN iaitu Tepoh, Seberang Takir, Bukit Tunggal dan Buluh Gading yang terjejas mendapat sumber air sehingga krisis itu dapat diselesaikan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata pihaknya memperuntukan sebanyak RM400,000 bagi menangani krisis itu yang memberi manafaat kepada lebih 28,000 keluarga dalam parlimen berkenaan yang terjejas termasuk beberapa kampung di DUN Batu Rakit dalam Parlimen Setiu.

DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali membantu penduduk mendapatkan bekalan air bersih pada program Misi Bantuan Air di Dewan Serbaguna Tepuh. FOTO Zaid Salim
DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali membantu penduduk mendapatkan bekalan air bersih pada program Misi Bantuan Air di Dewan Serbaguna Tepuh. FOTO Zaid Salim

Beliau yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata, bagi memastikan misi bantuan berjalan lancar, pihaknya menyewa dua lori tangki bagi membekalkan air bersih kepada penduduk.

"Lori tangki ini yang setiap satu boleh memuatkan 40,000 liter air akan bergerak di setiap DUN bagi memberi bekalan air sehingga masalah gangguan ini selesai.

"Setakat ini kita sudah menyediakan sebanyak 177 tangki air statik yang boleh memuatkan sebanyak 600 gelen air bagi setiap tangki dan ia ditempatkan di pusat sehenti di setiap kampung terjejas," katanya pada sidang media program Misi Bantuan Air dengan kerjasama Majlis Getah Malaysia (MRC) di Buluh Gading, petang semalam.

Tambahnya, 19,000 tabung air minuman berkapasiti 18 liter setiap satu turut dibekalkan dan 4,000 sudah diagihkan kepada penduduk.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekuti MRC, Nurul Islam Mohamed Yusuf.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 2:58 PM