Rafiqah DahaliĀ 

Kota Kinabalu: Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin umpama talian hayat tambahan kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mikro yang terjejas dengan penularan pandemik Covid-19.

Ramai yang teruja dan bersyukur dengan perutusan gembira daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan portal berita. Bagi mereka, pengumuman inisiatif tambahan menerusi Kita Prihatin suntikan oksigen tambahan untuk mereka terus bernafas malah dapat kembali aktif seperti sebelum penularan wabak.

Antara mereka yang bersyukur dengan Kita Prihatin adalah pengusaha pau sejuk beku di bandar raya ini, Datin Rozilah Abdullah.

Baginya, kerajaan benar-benar memenuhi janji dan menunjukkan keprihatinan untuk meringankan beban pelbagai pihak termasuk usahawan seperti beliau yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Sebagai usahawan PKS, saya sambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan menerusi pelbagai inisiatif diumumkan menaikkan semangat kami meneruskan perniagaan pada waktu mencabar ini.

"Program Subsidi Upah 2.0 umpamanya sudah pasti sangat membantu kami mengurangkan beban tanggungan kos upah pekerja," katanya yang juga pemilik Mama Best Food Manufacturer Sdn Bhd.

Beliau mengulas pengumuman Muhyiddin kelmarin mengenai Kita Prihatin bernilai RM10 bilion yang merangkumi Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) RM7 bilion, Program Subsidi Upah (PSU) 2.0 (RM2.4 bilion) dan Geran Khas PRIHATIN (GKP) RM600 juta.

PSU 2.0 diberi hingga tiga bulan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja hingga maksimum 200 pekerja bagi sebuah syarikat.

Pakej Kita Prihatin lanjutan daripada pakej rangsangan ekonomi sebelum ini iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pakej Prihatin PKS (Tambahan) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM295 bilion atau kira-kira 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan suntikan fiskal tambahan kerajaan berjumlah RM45 bilion.

Rozilah berkata, sebagai usahawan PKS, beliau menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan kerana lanjutan program sebelum ini menaikkan semangat usahawan meneruskan perniagaan pada waktu mencabar ini.

ROZILAH bersama produk pau sejuk beku yang dijualnya. FOTO Malai Rosmah Tuah
ROZILAH bersama produk pau sejuk beku yang dijualnya. FOTO Malai Rosmah Tuah

"PSU 2.0 benar-benar membantu kami mengurangkan beban tanggungan kos upah terhadap pekerja," katanya yang mempunyai 13 kakitangan.

PSU 2.0 adalah lanjutan daripada Penjana Kerja sebelum ini sudah tentu akan membolehkan syarikatnya mengekalkan bilangan pekerja sedia ada.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami mendapat bantuan dan insentif bayaran gaji untuk pekerja menerusi PSU dibayar melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Sebelum ini kami memohon secara dalam talian dan prosesnya amat mudah dan kami sentiasa dibantu termasuk dalam pengurusan proses temu duga," katanya.

Sementara itu, menceritakan hasil pelbagai inisiatif kerajaan sebelum ini, Rozilah berkata, menerusi PENJANA Kerjaya, syarikatnya dapat mengambil enam pekerja baharu.

Rozilah turut berkongsi pengalaman menguruskan perniagaan dalam tempoh pelaksanaan PKP.

"Dalam dua minggu pertama, syarikat ditutup sepenuhnya. Awal April lalu, syarikat mula beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan tetapi produktiviti syarikat hanya dalam kadar 20 peratus.

"Sebelum PKP, syarikat kami menghasilkan 5,000 biji pau (850 pek) sehari. Pada permulaan syarikat beroperasi semula, produktiviti amat rendah tetapi sekarang mencecah antara 70 hingga 80 peratus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 7:55 AM