FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini perlu berinovasi, mencipta idea baru serta 'keluar' daripada konsep perniagaan lama.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendigitalan adalah elemen penting bukan sahaja untuk memulihkan perniagaan tetapi juga kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan.

Katanya, oleh itu usahawan tidak boleh lagi mengambil sikap tunggu dan lihat dan perlu turut berubah dan menerima pendigitalan dalam perniagaan supaya mampu menghadapi persaingan dan meningkatkan kecekapan dalam operasi perniagaan.

"Pandemik Covid-19 ini juga menyedarkan kita bahawa untuk maju, kita harus melepaskan diri dari keadaan normal mengembangkan pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan terhadap rakyat dan ekonomi.

"Ia bukan lagi 'business as usual' dan inilah masanya untuk idea baru. Inilah masanya untuk berinovasi," katanya dalam ucapan sempena pelancaran MyAssist MSME dan Minggu PKS Kebangsaan 2021 secara maya di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan menyedari bahawa amat penting supaya langkah bagi menangani kesan pandemik dilakukan segera sebagai pemangkin yang dapat membantu untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengumumkan beberapa Pakej Rangsangan Ekonomi sejak tahun 2020, iaitu PRE 2020, Penjana, Prihatin, Prihatin PKS, Kita Prihatin, Bajet 2021, Permai, Pemerkasa dan Pemerkasa+ yang memperuntukkan sejumlah RM147.1 bilion khusus untuk membantu PKS.

"Sebagai bantuan tambahan yang diberikan kerajaan, pada 28 Jun lalu, saya telah mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), yang keseluruhannya bernilai RM150 bilion.

"Antara lain, fokus Pemulih termasuklah bagi menyokong perniagaan, dengan tujuan utama untuk mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif cukai, menyediakan fasilitasi pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian, yang tentunya akan memberikan manfaat kepada PKS.

"Pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 ini akan dapat membantu PKS meringankan kekangan aliran tunai dan meningkatkan daya tahan perniagaan.

"Dijangkakan prospek pertumbuhan PKS akan kembali pulih perlahan-lahan pada tahun ini, selari dengan unjuran peningkatan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya," katanya.

Muhyiddin berkata, selain pakej rangsangan yang sudah diumumkan itu, kerajaan turut melaksanakan inisiatif tambahan yang bertujuan untuk memudahcara perniagaan, khususnya dalam kalangan PKS termasuk enterpris mikro.

"Salah satu inisiatif terbabit adalah pembangunan Portal MyAssist MSME yang menyediakan platform kepada PKS untuk mendapatkan maklumat, khidmat nasihat, bimbingan dan peluang pemasaran secara online.

"Platform ini akan dapat membantu PKS menangani permasalahan dan isu berkaitan perniagaan dalam keadaan norma baharu.

"Ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk memastikan PKS tempatan terus diperkasa dalam mendepani cabaran semasa.

"Justeru, Portal MyAssist MSME ini ialah suatu platform digital yang dibangunkan pada waktu yang sangat tepat dan dalam keadaan di mana kita harus mengurangkan pertemuan bersemuka atau secara fizikal, Portal MyAssist MSME adalah penyelesaian norma baru bagi keperluan fasilitasi perniagaan di bawah 'One Stop Centre'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 6:13 PM