ANGGOTA PPM Wilayah Dua Johor menunjukkan antara rokok yang dirampas dalam dua serbuan di Mersing, hari ini. FOTO ihsan PPM
ANGGOTA PPM Wilayah Dua Johor menunjukkan antara rokok yang dirampas dalam dua serbuan di Mersing, hari ini. FOTO ihsan PPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEBANYAK 237 karton rokok seludup bernilai lebih RM20,000 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dalam dua serbuan berasingan di Medan Selera Seri Panchor dekat Mersing, Johor, semalam.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, dua serbuan itu dilakukan seorang pegawai bersama enam anggota Unit Risikan Marin (URM) dan URM Markas Taktikal (MT) PPM.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sebuah kedai runcit di medan selera itu, kira-kira jam 4.30 petang, seorang lelaki dipercayai penjaga premis ditahan bagi membantu siasatan.

"Ketika melakukan Op Landai, anggota URM memeriksa kedai runcit berkenaan dan hasil pemeriksaan dan soal siasat terhadap lelaki itu, suspek menunjukkan sebuah bangunan kedai yang dijadikan stor di kawasan berhampiran.

"Siasatan mendapati sebanyak 146 karton rokok tidak sah pelbagai jenis tersimpan dalam stor berkenaan yang disembunyikan dalam guni plastik dan kotak dengan anggaran nilai berjumlah RM13,960," katanya.

Paul berkata, dalam serbuan kedua kira-kira jam 5 petang, anggota URM pula membuat pemeriksaan di sebuah gerai menjual burger bersebelahan medan selera berkenaan.

"Kita terpaksa memecahkan kunci mangga pada gerai berkenaan kerana pemilik gerai berkenaan tiada di lokasi ketika serbuan.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 91 karton rokok tidak sah pelbagai jenis dalam gerai berkenaan yang disembunyikan dalam kotak dengan anggaran nilai RM8,438.

"Semua rokok yang dirampas dibawa ke MT PPM Mersing untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 7:10 PM