MOHD Yusoff (kiri) menunjukkan rampasan rokok tanpa cukai pada sesi sidang media yang diadakan di Markas PPM Wilayah Dua Tampoi, Johor Bahru. FOTO Amanina Suhaini
MOHD Yusoff (kiri) menunjukkan rampasan rokok tanpa cukai pada sesi sidang media yang diadakan di Markas PPM Wilayah Dua Tampoi, Johor Bahru. FOTO Amanina Suhaini
Skuad Khas Harian Metro


PASUKAN Polis Marin (PPM) akan meningkatkan operasi Op Benteng Covid-19 kerana aktiviti penyeludupan termasuk rokok dijangka rancak berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan.

Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, kebenaran beberapa sektor beroperasi semula ketika PKPP juga diambil kesempatan oleh penyeludup untuk kembali aktif.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat tentang kegiatan menyalahi undang-undang di kawasan pesisiran pantai.

"Seramai 24 orang ditangkap menerusi Op Benteng Covid PPM Wilayah Dua Johor dari 1 April lalu hingga semalam dengan kesalahan paling banyak dilakukan dan disiasat adalah mengikut Akta Imigresen 1959/63 diikuti Akta Kastam 1967 (5) dan Akta Dadah Berbahaya 1952 (4).

"Ini termasuk tiga masing-masing di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988; Akta Racun 1952 dan Akta Perikanan 1985 selain satu masing-masing di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"PPM Wilayah Dua dan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta balai-balai akan bertindak tegas termasuk menggempur premis atau outlet dalam operasi khas bagi membanteras rokok haram," katanya.

Op Benteng Covid-19 yang dilancarkan 12 Mei lalu membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, PPM Wilayah Dua merampas minuman keras, rokok seludup serta barang terlarang yang lain di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka dengan nilai lebih RM7 juta membabitkan 29 kes dari Januari lalu sehingga kelmarin.

Terdahulu portal MyMetro, semalam, melaporkan harga murah serendah RM4 hingga RM7 sekotak dan lambakan rokok seludup di pasaran seluruh negara menjadikan golongan kanak-kanak dan remaja mula merokok.

Kajian dilakukan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan, kanak-kanak seawal usia lapan tahun sudah mula terbabit dengan tabiat atau ketagihan merokok.

Lapor kajian itu, golongan kanak-kanak seawal usia lima hingga tujuh tahun mula terdedah kepada rokok selepas diminta bapa mereka untuk membelinya di kedai.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian baru-baru ini pula melahirkan kebimbangan susulan analisis Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah kematian akibat Covid-19 terhadap individu merokok lebih tinggi berbanding bukan perokok iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.

"Kanak-kanak (dan remaja) merokok, kalau dapat jangkitan Covid-19, komplikasi lebih tinggi. Malah, perokok baru akan merosakkan fungsi (paru-paru), implikasi jangkitan lebih teruk. Begitu juga kanak-kanak yang terdedah kepada perokok contohnya ahli keluarga merokok," katanya.

Berita berkaitan:

  • Tubuh jawatankuasa atasi ketagihan merokok kanak-kanak
  • Bahana rokok murah: Merokok seawal 8 tahun
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 9:30 PM