KEJADIAN runtuhan perancah struktur pembinaan projek LRT3 berhampiran Hotel Premiere Bukit Tinggi, Klang. FOTO Faiz Anuar
KEJADIAN runtuhan perancah struktur pembinaan projek LRT3 berhampiran Hotel Premiere Bukit Tinggi, Klang. FOTO Faiz Anuar
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian runtuhan perancah besi di tapak pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Bandar Bukit Tinggi, Klang, hari ini.

Prasarana sebagai pemilik projek LRT3 yang kini dikenali sebagai LRT Shah Alam dalam kenyataan berkata, siasatan akan dilakukan kontraktor dilantik iaitu MRCB George Kent Sdn Bhd.

Menurut kenyataan itu, kontraktor terbabit diminta memberikan laporan terperinci dan langkah mitigasi untuk memastikan kejadian tidak berulang.

"Keselamatan adalah keutamaan kami dan perhatian. Kami yakin semua pihak terbabit memberikan komitmen penuh untuk memastikan keselamatan tempat kerja terjaga serta mematuhi peraturan ditetapkan.

"Prasarana akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk untuk segera melancarkan siasatan dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa," kata kenyataan itu.

Katanya, punca kejadian itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Selain itu, Prasarana turut melahirkan rasa kesal susulan tragedi itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Kami berdoa agar mereka yang cedera cepat sembuh selain memastikan kesejahteraan mangsa dan keluarga diberi keutamaan," katanya.

Prasarana juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat atas usaha menyelamatkan mangsa.

Dalam kejadian jam 2.14 petang itu, seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut manakala empat cedera dalam kejadian runtuhan perancah besi struktur pembinaan projek LRT3 berhampiran Hotel Premiere Bukit Tinggi.

Mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 9:28 PM