Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Beberapa menteri dikatakan mengadakan pertemuan di kediaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasssin di Bukit Damansara di sini, hari ini.

Beberapa kenderaan menteri dilihat memasuki kawasan kediaman Muhyiddin sejak 3.30 petang hari ini.

Antara menteri yang kelihatan hadir adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun serta Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

 Sebuah kenderaan rasmi dipercayai membawa menteri dilihat keluar dari rumah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jalan Setiabakti, Bukit Damansara. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Sebuah kenderaan rasmi dipercayai membawa menteri dilihat keluar dari rumah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jalan Setiabakti, Bukit Damansara. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Turut kelihatan adalah beberapa timbalan menteri dan wakil pemimpin daripada Pas dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Sehingga 8 malam ini, petugas media tempatan masih lagi berada di luar kawasan rumah Perdana Menteri untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai pertemuan berkenaan berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini.

Dalam kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan dukacita dengan kenyataan di Parlimen pada Isnin lalu, bahawa kerajaan sudah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan baginda.

Yang di-Pertuan Agong juga amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 8:40 PM