BERNAMA

Kuala Lumpur: Kediaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini terus menjadi tumpuan pemimpin politik dipercayai membincangkan perkembangan mutakhir landskap politik semasa negara.

Pengamal media turut 'berkampung' di kediaman Ahli Parlimen Pagoh itu di Bukit Damansara seawal 7 malam susulan pengumuman Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media yang antara lain menyatakan parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Antara yang kelihatan hadir adalah Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut kelihatan kenderaan yang membawa Presiden MIC Tan Sri S AVigneswaran dan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin merangkap Setiausaha Agung Bersatu dan PN serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun merangkap Ketua Srikandi Bersatu turut dilihat memasuki kawasan kediaman Muhyiddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 11:24 PM
Kenderaan membawa Peguam Negara memasuki kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara, Kuala Lumpur malam ini. Foto Hairul Anuar Rahim
Kenderaan membawa Peguam Negara memasuki kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara, Kuala Lumpur malam ini. Foto Hairul Anuar Rahim