TIMBALAN Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon meredakan keadaan yang bertukar kecoh pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO Bernama
TIMBALAN Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon meredakan keadaan yang bertukar kecoh pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sidang Khas Dewan Rakyat berakhir jam 5.30 sebentar tadi, selepas ditangguhkan tiga kali hari ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, ia akan disambung semula Isnin ini bermula jam 10 pagi.

Di dalam Aturan Urusan Mesyuarat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sepatutnya menggulung pembentangan selepas selesai perbahasan Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, persidangan ditangguh kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas dewan dimaklumkan mengenai satu kenyataan dari Istana Negara.

Kemudian, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said yang memaklumkan perbincangan mengenai Aturan Urusan Mesyuarat sedang berjalan dan ditangguh sehingga jam 3.30 petang.

Selepas itu Mohd Rashid sekali lagi memaklumkan persidangan ditempohkan sehingga 5.15 petang selepas mendapat pemakluman mengenai terdapat kes positif Covid-19 di bangunan parlimen.

Ia menjadikan penggulungan Menteri Kewangan tertangguh dan akan disambung Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 6:14 PM