SUASANA di dalam Dewan Rakyat pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen. FOTO Bernama
SUASANA di dalam Dewan Rakyat pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sidang Mesyuarat Khas Parlimen ditangguhkan sehingga 5.15 petang hari ini susulan terdapat kes positif Covid-19 dilaporkan.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon berkata, Yang di-Pertua Dewan Rakyat menerima surat daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai dua kes positif Covid-19 di Parlimen.

Menurutnya, kes pertama membabitkan seorang petugas yang hadir ke Parlimen sejak Isnin lalu hingga hari Rabu dengan nilai kitaran ambang CT Value 18.7.

"Kes kedua dikesan positif Covid-19 pada hari ini ketika saringan dibuat di Parlimen menggunakan ujian kendiri.

"Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal mendapati kedua-dua kes itu dikhuatiri berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh tersebut," katanya hari ini.

Sehubungan itu, katanya, saringan gejala dan ujian pengesanan Covid-19 dijalankan kepada semua yang hadir di Parlimen termasuklah Ahli Parlimen, pegawai dan pekerja.

Menurutnya, tiada yang akan dibenarkan keluar dari kompleks Parlimen sehingga keputusan diperoleh.

"Ujian saringan akan dilakukan di pintu tiga Blok Utama yang mula beroperasi sejak semalam.

"Keutamaan diberikan kepada Ahli Parlimen. Mesyuarat ditempohkan sehingga 5.15 petang," katanya.

Terdahulu Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang masuk hari keempat hari ini ditangguh sehingga 3.30 petang bagi memberi laluan kepada perbincangan berhubung Aturan Urusan Mesyuarat (AUM).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 4:17 PM