Wafel berisi paku, dawai dan besi tajam.
Wafel berisi paku, dawai dan besi tajam.
Agensi

Surabaya: Wafel berisi paku, dawai dan besi tajam diberikan kepada kanak-kanak di Jember Lor, Jawa Timur dengan alasan menolak bala.

Itu alasan diberikan seorang lelaki selepas tindakannya memberikan wafel berisi bahan tajam dilaporkan kepada polis.

Portal Kompas melaporkan lelaki terbabit dikatakan akan mendekati kanak-kanak sebelum menawarkan wafel, sejenis makanan ringan.

Namun yang menghairankan wafel berkenaan berisi bahan tajam yang boleh mendatangkan kecederaan kepada sesiapa yang memakannya.

Bapa seorang kanak-kanak kemudian melaporkan kepada polis berhubung kejadian berkenaan.

M Yasin berkata, anaknya didatangi lelaki tidak dikenali sebelum memberikan wafel kepada mangsa.

"Anak saya sedang bermain sebelum seorang lelaki datang menawarkan wafel berkenaan.

"Anak saya sempat menggigit wafel itu namun memuntahkan semula kerana berisi paku, besi kokot dan dawai," katanya.

Bimbang kejadian sama berulang dan lebih ramai menjadi mangsa menyebabkan laporan polis dibuat.

Susulan daripada laporan itu, sepasukan polis berjaya mengesan suspek di kawasan berhampiran.

Polis berkata, suspek mengakui dia adalah individu yang memberikan wafel kepada kanak-kanak.

"Dari hasil pemeriksaan yang dilakukan, suspek mengakui perbuatannya bermotifkan tolak bala.

"Suspek sengaja membuat snek berkenaan untuk menolak bala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 6:00 AM