Gambar hiasan
Gambar hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menerima laporan dibuat pelakon Datuk Fizz Fairuz berhubung dakwaan ditipu seorang lelaki bergelar Datuk Seri.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, laporan berkenaan dibuat pelakon itu pada jam 11.30 pagi semalam.

"Mangsa yang berusia 41 tahun mendakwa berkenalan dengan seorang lelaki bergelar Datuk Seri berusia 26 tahun yang menawarkan tender pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Mangsa diminta membayar satu peratus daripada nilai harga tender projek sebagai cagaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selepas persetujuan dibuat mangsa memindahkan wang berjumlah RM18,100 ke akaun peribadi suspek.

"Namun selepas pembayaran dilakukan, mangsa menghubungi suspek untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tawaran projek berkenaan namun pelbagai alasan diberikan dan kini gagal dihubungi.

"Siasatan kes kini masih berjalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dan sentiasa berhati-hati dengan segala bentuk tawaran projek.

"Sebagai langkah pencegahan, anda boleh membuat semakan awal dengan agensi terlibat dahulu untuk membuat pengesahan sama ada projek tersebut wujud atau sebaliknya.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Respon CCID melalui talian 03-26101559/1559 sekiranya mempunyai sebarang keraguan mahupun maklumat berkenaan aktiviti jenayah komersil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 4:34 PM