Datuk Fizz Fairuz
Datuk Fizz Fairuz
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon popular Datuk Fizz Fairuz kerugian RM18,000 apabila menjadi mangsa 'scam' seorang individu lelaki berusia 26 tahun berpangkat Datuk Seri.

Susulan itu, Fizz membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Fizz ketika dihubungi berkata, wang itu dibayar sebagai bon bagi tender projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Individu ini tawarkan saya projek tender DBKL. Dia bagi senarai apa kena buat dan saya kena bayar satu peratus bon. Saya memang tak terfikir dia scammer sebab dia minta profil syarikat.

"Dia minta buat pembayaran ke akaun peribadi. Pada awalnya saya persoalkan juga perkara itu, tapi dia kata nak tolong uruskan semuanya. Katanya pertengahan bulan ini dah boleh mulakan kerja.

"Saya pun buat bayaran pada 6 Jun. Empat hari selepas itu kami masih berhubung macam biasa. Selepas itu dia sudah tidak jawab panggilan dan mesej WhatsApp. Dia pernah balas mesej itu pun selepas 50 kali saya mesej. Macam-macam alasan diberikan. Katanya dia kena Covid-19 dan sebagainya. Takkan sebulan kena Covid-19 kan?" katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fizz, dia mula menyedari dirinya menjadi mangsa scam selepas individu itu 'menghilangkan' diri selain mendapat nasihat daripada beberapa kenalan.

"Saya ada menghubungi beberapa kenalan yang pernah berurusan dengan dia. Mereka nasihatkan saya supaya tidak bekerjasama dan dekatkan diri dengan dia.

"Saya pula apabila sudah masukkan wang baru menghubungi mereka. Jadi, ini kesilapan saya sendiri. Saya percaya pun sebab dia gunakan nama DBKL," katanya.

Dalam masa sama, Fizz memaklumkan individu itu sudah ditahan, semalam.

"Saya dimaklumkan dia sudah kena tangkap. Rupa-rupanya ramai juga menjadi mangsa. Jadi, banyak laporan dibuat terhadapnya.

"Saya juga buat laporan sebab menjadi mangsa. Saya berharap wang dipulangkan. Biarpun peluang itu macam mustahil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 8:04 PM