Laporan Harian Metro sebelum ini
Laporan Harian Metro sebelum ini
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki bergelar Datuk Seri yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes penipuan membabitkan pelakon terkenal, Datuk Mohd Fairuz Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Fizz Fairuz akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya sudah mengemukakan kertas siasatan yang dilengkapkan terhadap suspek berusia 26 tahun berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya, pagi tadi.

"Kami sudah menerima arahan untuk mendakwa suspek di Mahkamah Majistret pagi esok atas kesalahan menipu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Fizz kerugian RM18,000 apabila menjadi mangsa penipuan seorang individu bergelar Datuk Seri.

Susulan itu, Fizz membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, pada 21 Julai lalu.

Fizz memaklumkan wang itu dibayar sebagai bon bagi tender projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, individu itu menawarkannya projek tender DBKL dengan memberi senarai apa yang perlu dilakukan perlu bayar satu peratus bon.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 9:52 PM