Datuk Seri Sahabudin Abd Manan
Datuk Seri Sahabudin Abd Manan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal memperolehi 16 dron jenis Vertical Take-Off and Landing (VTOL) bernilai RM48 juta.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Sahabudin Abd Manan berkata, dron berkenaan diperolehi selepas kerajaan meluluskan cadangan perolehannya di bawah Projek Perolehan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

"Unjuran siling ini adalah anggaran berdasarkan kajian harga pasaran untuk dron berspesifikasi terkini yang sesuai bagi penugasan taktikal atau pemantauan PDRM.

"Dron yang bakal diperolehi adalah jenis dron elektrik (menggunakan kuasa bateri) berkuasa tinggi dan akan dilengkapi dengan Gyro Stabilised Camera (Electro Optical/Infra Red).

"Ia boleh membuat penerbangan dan rakaman visual resolusi tinggi termasuk foto, video dan live streaming pada waktu siang dan malam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sahabudin berkata, bagi setiap unit dron yang diperolehi, ia merangkumi pakej Mobile Ground Station Vehicle yang dilengkapi dengan Turret Tracking Antenna System, Weather Station dan Portable Global Navigation Satellite Sysyem.

"Semua dron berkenaan akan digunakan bagi penugasan membabitkan pemantauan serta membanteras ancaman di kawasan sempadan negara dalam usaha menangani pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

"PDRM menghargai komitmen kerajaan dalam memastikan pasukan memiliki aset dan kelengkapan terkini bagi memantapkan penugasan supaya keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 9:06 PM