PDRM menggunakan dron untuk membuat pemantauan pematuhan SOP bazar Ramadan dan Aidilfitri. FOTO AZIAH AZMEE
PDRM menggunakan dron untuk membuat pemantauan pematuhan SOP bazar Ramadan dan Aidilfitri. FOTO AZIAH AZMEE
BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan dron untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dan Aidilfitri di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dron PDRM digunakan untuk memantau SOP dari udara kerana PDRM mengalami kesukaran untuk memantau SOP di semua bazar.

"Seperti diketahui agak sukar untuk memantau kehadiran pengunjung ke dalam sesebuah bazar yang pada malam kebiasaannya boleh mencecah 2,000 hingga 3,000 pengunjung.

"Jumlah itu boleh mencecah lebih lagi dan polis yang mengoperasikan dron ini akan memastikan pengunjung ke bazar berkenaan mematuhi SOP," katanya kepada Bernama semasa melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Acryl Sani berkata, pada masa sama, penggunaan dron mampu memberikan gambaran jelas sama ada penjarakan fizikal di sesetengah bazar dipatuhi atau sebaliknya.

Sementara itu, Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM, Superintendan Rasha Azaldin Shafii berkata, pihaknya telah menggunakan dron untuk memantau pematuhan SOP di bazar sejak Khamis lalu.

Beliau berkata, beberapa pasukan unit dron akan dibahagikan untuk memantau beberapa bazar dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.

"Kebiasaannya, kami akan memulakan penugasan unit dron di bazar selama 30 minit untuk memantau SOP. Pasukan saya akan mula menerbangkan dron pada waktu petang.

"Kami memantau SOP di bazar berdasarkan arahan Ketua Polis Daerah sekiranya perlu dan bukanlah setiap masa kami memantau," katanya.

Rasha berkata, segala video dan gambar akan dirakamkan dan boleh dilihat di pusat operasi unit dron ditetapkan.

Beliau berkata, apabila dron diterbangkan ia boleh melihat segala pergerakan pengunjung di bazar dan jika nampak mereka tidak mematuhi SOP, dron polis akan menegur mereka melalui pembesar suara dron," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 12:37 PM