GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang pegawai tadbir sebuah majlis perbandaran ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor selepas disyaki menerima wang suapan berjumlah lebih RM30,000 sebagai balasan untuk mengesahkan perakuan siap kerja bagi kerja-kerja pelupusan sampah.

Menurut sumber, suspek berusia 45 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada jam 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, suspek dipercayai menerima suapan berjumlah lebih RM30,000 daripada seorang pengarah syarikat secara berperingkat menerusi pembayaran cek pada tahun 2014.

Jelas sumber, ia (pembayaran) sebagai balasan untuk mengesahkan perakuan siap kerja pelupusan sampah sedangkan kerja-kerja itu tidak dilaksanakan seperti yang ditetapkan dalam kontrak perjanjian.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan kakitangan terbabit.

Jelasnya, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada jam 8.30 pagi esok.

Jumaat lalu, dua bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran di Selangor ditahan reman kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

Sumber berkata, kedua-dua bekas YDP yang berusia 47 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberikan keterangan.

Katanya, selain itu turut ditahan ialah seorang kontraktor yang memberi rasuah bagi membolot projek ditawarkan di dua majlis perbandaran diketuai oleh dua YDP berkenaan.

YDP terbabit kini memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah (DO), manakala kontraktor berusia 42 tahun itu sebelum ini dipercayai mengawal 16 syarikat yang didaftarkan atas nama saudara dan pekerjanya bagi mendapatkan projek di dua Majlis Perbandaran berkenaan dianggarkan mencecah jutaan ringgit sejak empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 7:04 PM