Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seorang lagi pegawai jabatan kerajaan direman lima hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret di sini, bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM130,000 bagi projek jalan dan sekolah tahfiz, dua tahun lalu.

Perintah reman sehingga Rabu depan itu dikeluarkan Majistret Raden Farah Shirazee Ahmadi selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Suspek berusia 40 tahun itu bertugas sebagai jurutera bangunan Gred 41 di sebuah jabatan kerajaan di Hulu Selangor.

Menurut sumber, suspek ditahan pada jam 2.50 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

Terdahulu, suspek tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam jam 9.55 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Pada 18 Ogos lalu, empat individu termasuk seorang jurutera jabatan kerajaan yang sama direman lima hari bagi membantu siasatan kes.

Mahkamah turut membenarkan reman terhadap seorang penolong jurutera selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM8,000 sebagai balasan memperakukan kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan sama.

PEGAWAI sebuah jabatan kerajaan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah. FOTO Norzamira Che Noh
PEGAWAI sebuah jabatan kerajaan direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah. FOTO Norzamira Che Noh

Sumber berkata, sekitar tahun 2019 hingga tahun lalu, suspek jurutera dan penolong jurutera yang bertugas di sebuah daerah di Selangor dipercayai meminta dan menerima wang rasuah lebih RM120,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah itu.

Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek berkenaan, namun menggunakan nama syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek.

Manakala seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat sama pula dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 10:55 AM