Nurul Amanina Suhaini


SEORANG lans koperal polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, hari ini atas empat tuduhan menerima rasuah daripada orang awam pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Mohd Rosdi Muhammad, 32, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Balai Polis Kluang Baru, Kluang didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM1,500 daripada lelaki 49 tahun sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas lelaki itu dan pekerja asingnya di sebuah kilang yang tidak mempunyai permit kerja sah.

Perbuatan didakwa dilakukan di kawasan berhampiran kilang itu di Kilometer 6, Jalan Paloh, Kluang pada 3.45 petang, 13 Oktober 2016.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa secara rasuah memperoleh RM2,000 dan RM1,000 daripada lelaki 36 tahun sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas lelaki itu dan pekerja asingnya yang tidak mempunyai permit kerja sah.

Perbuatan dilakukan di lokasi sama pada 3.15 petang, 2 Disember 2016 dan pada 11.20 pagi, 17 Januari 2017.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan perbuatan seumpama di lokasi sama ke atas individu sama dalam pertuduhan kedua dan ketiga, dengan menerima RM800 pada 1.55 petang, 6 Mac 2017.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaili Sapun manakala, tertuduh diwakili peguam Nur Afiqah Hambali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

TERTUDUH (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini.
TERTUDUH (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, hari ini. FOTO Nurul Amanina Suhaini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 11:56 AM