GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seramai 245,995 petugas kesihatan selesai menerima dua dos vaksinasi setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 3,916 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, seramai 1,272 petugas yang dijangkiti berada dalam kategori satu, manakala 2,636 dalam kategori dua iaitu bergejala ringan.

"Bagi kategori tiga iaitu yang membabitkan radang paru-paru ada tiga kes, manakala untuk kategori empat yang memerlukan oksigen ada empat kes.

"Tiada kes bagi kategori lima iaitu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan petugas kesihatan," katanya pada sidang media khas hari ini.

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah,Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Keong dan Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Shaari Ngadiman.

Beliau berkata, jangkitan kepada petugas KKM selepas menerima vaksin penuh boleh berlaku tetapi dengan kadar jangkitan dan kesan yang rendah.

Menurutnya, kebanyakan yang dijangkiti tidak bergejala atau menunjukkan gejala ringan.

"Ini menunjukkan kalau kita sudah diberikan vaksin, kita masih boleh dijangkiti. Kadar jangkitan kita lihat untuk petugas kesihatan 1.59 peratus saja.

"Tapi kebanyakan kes 99.8 peratus adalah jangkitan daripada peringkat awal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 6:57 PM