GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sebanyak 20 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini, menjadikan keseluruhan korban wabak itu kini seramai 689 orang.

Jumlah itu adalah yang tertinggi sejak kematian pertama direkodkan di Sarawak pada 17 Mac 2020.

Sibu mencatat jumlah kematian tertinggi dengan empat mangsa, diikuti Serian (tiga), Lubok Antu (dua), Miri (dua), Sri Aman (dua) dan masing-masing seorang di Bau, Selangau, Kuching, Matu, Beluru, Bintulu dan Kanowit.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, daripada jumlah itu, 12 adalah lelaki manakala lapan lagi wanita yang semuanya berumur antara 45 hingga 97 tahun.

"Semua mangsa yang meninggal dunia itu mempunyai rekod komorbid seperti penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, dislipidemia, paru-paru obstruktif dan gout," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Sarawak terus mencatatkan jumlah jangkitan harian melebihi 2,000 apabila 2,707 kes dilaporkan hari ini.

Kuching mencatatkan jumlah tertinggi dengan 697 kes, diikuti Bintulu (355), Sibu (333), Miri (228), Samarahan (165), Serian (162) dan Bau (144).

Sebanyak 19 daerah lagi mencatat kes dua angka, 10 daerah dengan satu angka manakala lima daerah sifar kes, hari ini.

Menurutnya, daripada 2,707 kes hari ini sebanyak 2,700 atau 99.70 adalah kategori 1 iaitu tidak bergejala dan gejala ringan.

"Pesakit bagi kategori 3 iaitu jangkitan paru-paru hanya seorang, kategori 4 iaitu jangkitan paru-dan dan memerlukan oksigen seramai dua orang manakala kategori 5 iaitu jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator pula seramai empat orang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 6:25 PM